Memaparkan catatan dengan label Masakan Melayu. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Masakan Melayu. Papar semua catatan

Khamis, 1 November 2012

Masak Lemak Bersama Taugeh, Fucuk dan Suun



Masak Lemak Taugeh, Fucuk dan Suun

Bahan-bahannya:
1 cawan taugeh-dicuci dan ditoskan
3,4 keping fucuk-dipotong kecil, direndam hingga lembut
1 genggam suun-direndam hingga lembut
1 1/2 cawan santan cair
1/4 cawan santan pekat
1 labu bawang besar-dipotong baji
1/2 cawan ikan bilis-ditumbuk halus
1 sudu teh lada serbuk lada hitam
Garam secukup rasa
1 sudu teh gula
Cili merah-untuk hiasan

Cara membuatnya:

  1. Satukan santan cair, bawang besar dan ikan bilis tumbuk ke dalam periuk. Panaskan.
  2. Apabila santan hampir mendidih, masukkan fucuk dan suun. 
  3. Apabila fucuk dan suun lembut sepenuhnya, masukkan taugeh, serbuk lada hitam, garam dan gula. Kacau rata.
  4. Masukkan santan pekat bersama cili merah. Kacau sentiasa hingga mendidih. Tutup api. Siap.

Selasa, 25 September 2012

Nasi Goreng Sambal Belacan


Nasi Goreng Sambal Belacan

Bahan-bahannya:
3 cawan nasi sejuk
2 ulas bawang merah-mayang atau tumbuk kasar
3 ulas bawang putih-mayang atau tumbuk kasar
2 sudu sambal belacan
garam secukup rasa
1/2 cawan udang kertas-dikupas kulit, dicuci dan ditos
1/2 cawan kacang panjang-dipotong pendek (1cm)
Minyak untuk menumis

Untuk hiasan:
Cili merah-potong serong
Sedikit daun kucai-dicincang kasar
2,3 kepingan timun batang

Cara membuatnya:

  1. Panaskan minyak ke dalam kuali. Tumis bawang merah dan bawang putih hingga naik bau.
  2. Masukkan sambal belacan. Tumis lagi hingga agak garing. Masukkan kacang panjang dan udang. Kacau rata  sehingga udang masak sepenuhnya. 
  3. Masukkan nasi dan garam. Kacau nasi hingga rata. Masak sehingga nasi bergaul sebati dan mesra sepenuhnya dengan bahan-bahan lain. Tutup api.
  4. Cedukkan ke dalam pinggan. Taburkan cili merah dan daun kucai. Susunkan kepingan timun. Siap.

Sabtu, 30 Jun 2012

Rendang Daging Kak Wan


Rendang Daging Kak Wan
Sumber: Wan Radziah

Bahan-bahannya:
500g daging-dipotong kecil
2-3 sudu cili giling-ikut kepedasan
3 batang serai
2 helai daun kunyit-dihiris halus
Beberapa helai daun limau purut-tak perlu letak banyak. Kalau banyak pahit
1-2 keping asam keping
11/2 sudu kerisek
100ml santan kotak
11/2 liter air
1 keret kecil nisan-kalau takde bleh ganti dengan gula pasir(dalam 3-5 sudu)
Garam secukup rasa

Bahan kisar:
2 labu bawang besar
4 ulas bawang putih
1 inci halia
1/2 inci  lengkuas
1 biji cili merah

Cara membuatnya:

  1. Masukkan daging, cili giling, serai, bahan kisar, asam keping, santan, air, garam dan nisan/gula ke dalam kuali. Gaul rata. Tutupkan kuali(supaya daging cepat empuk) dan guna api sederhana. Masak sehingga daging separuh empuk. Kacau sekali-sekala. 
  2. Kemudian, masukkan kerisek dan daun kunyit. Kacau sebati. 
  3. Apabila daging lembut sepenuhnya, barulah masukkan daun limau purut. Rasakan. Kalau rasa kurang masin, tambahkan garam. Kalau tak manis, tambah gula. Masak lagi 10 minit sehingga kuah pekat.

Selasa, 20 September 2011

Tapai Pancawarna


Bahan-bahan:
12 cawan beras pulut(lebih kurang ½ gantang)-dibahagi kepada 4 bahagian
Ragi untuk ½ gantang-dihancurkan dan dibahagi kepada 4 bahagian
Air secukupnya untuk digaul(arong) bersama pulut
Pewarna hijau, kuning dan merah atau mengikut kesukaan

Cara membuatnya:


  • Beras pulut yang dibahagi 4 itu dimasukkan ke dalam mangkuk berasingan. Basuh sebersih-bersihnya. Rendamkan bersama air dan pewarna yang dipilih. Satu bahagian dibiarkan warna asal(putih). Rendamkan selama 6 jam atau semalaman.
  • Kemudian buangkan air rendaman, bilas sebersihnya kemudian kukus satu-persatu mengikut warna hingga masak.
  • Selepas itu masukkan pulut yang telah siap dikukus (mengikut warna) ke dalam mangkuk dan gaulkan(arong)  dengan air bersih (mengikut warna). kemudian kukus sekali lagi (lebih kurang 20 minit).
  • Ratakan setiap satu bahagian pulut (mengikut warna) ke dalam talam atau loyang. Biarkan sehingga betul-betul sejuk.
  • Apabila telah sejuk sepenuhnya tabur 1 bahagian ragi(yang telah dibahagi 4 tadi) kepada 1 bahagian pulut berwarna.[maksudnya setiap 1 bahagian pulut berwarna ditaburkan 1 bahagian ragi]. Gaul hingga rata.
  • Gentelkan pulut berwarna sebesar duit 20 sen. Satukan setiap warna ke dalam satu bekas. Ikuti langkah ini hingga habis. *Untuk mengelakkan pulut melekat di jari ketika menggentel, sediakan campuran air dan gula. Kacau sehingga gula larut. Celupkan jari ke dalam campuran air gula sebelum menggentel.
  • Peramkan tapai sehingga masak.

Kukus pulut hingga masak. Gaul(arong) kemudian kukus sekali lagi.
Ratakan pulut dalam talam dan biarkan hingga betul-betul sejuk.
Taburkan ragi apabila telah sejuk.
Gaulkan ragi dan pulut sehingga rata.
Gentelkan pulut beragi sebesar duit 20 sen. Satukan setiap warna
dalam satu bekas. Tutup dan peramkan selama lebih kurang 3 hari
sebelum boleh dimakan.


Variasi bekas yang boleh digunakan untuk menghasilkan
tapai pancawarna. 

Sabtu, 9 Julai 2011

Nasi Goreng Kampung



Bahan-bahannya:
2 ulas bawang merah*
3 ulas bawang putih*
3 batang cili padi*
2 sudu ikan bilis*
2 cawan nasi dingin
3 tangkai cili kering-rendam seketika kemudian potong pendek
3 urat kacang panjang-potong pendek
Sedikit lobak merah-didadu
3 sudu ikan bilis
Garam dan serbuk perasa secukup rasa
2 sudu minyak untuk menumis

Cara-cara membuatnya:

  1. Tumbuk bahan bertanda * hingga lumat untuk dibuat rencah. Panaskan minyak di dalam kuali. Tumis bahan tumbuk tadi hingga naik bau.
  2. Masukkan semua bahan lain (kecuali nasi). Gaul rata. Perlahankan api. Tunggu  sehingga kacang panjang dan lobak merah lembut sebelum masukkan nasi. 
  3. Masukkan nasi dan gaul rata. Tutup api apabila semua bahan sudah sebati dengan nasi. 
  4. Nasi goreng kampung sedia untuk dihidangkan.

Jumaat, 8 Julai 2011

Pengat Durian


Bahan-bahannya:
2 cawan durian
2½ cawan air
80ml santan kotak
½ cawan gula merah
¼ cawan gula pasir
Secubit garam
2 helai daun pandan-carik-carikkan dan simpul
2 sudu sagu biji-direndam terlebih dahulu

Cara-cara membuatnya:

  1. Masukkan air ke dalam periuk. Masukkan durian. Didihkan di atas api hingga durian lembut.
  2. Masukkan daun pandan, santan, gula merah, gula pasir, sagu biji dan garam. Masakkan dengan api perlahan sehingga mendidih dan sedikit pekat. Kacau sentiasa untuk mengelakkan santan pecah minyak. (Rasakan. KAlau kurng manis, bolehlah tambahkan gula pasir ke dalamnya).
  3. Apabila telah mendidih, tutup api. Kacaukan  lagi dalam seminit. Siap.
*Pengat durian tidak perlukan penggunaan santan dan gula yang banyak kerana durian sudah sedia lemak dan manis.

Isnin, 20 Jun 2011

Kari Ikan Pari


Bahan-bahannya:
5 ketul ikan pari-direndam seketika dengan asam jawa untuk hilangkan hanyir, dicuci bersih kemudian ditoskan.
Sedikit daun kari(dalam setengah genggam)
2 inci kulit kayu manis
4 kuntum bunga cengkih
1 kuntum bunga lawang
4 biji buah pelaga
4 ulas bawang merah-dimayang atau dilumatkan
3 ulas bawang putih-dimayang atau dilumatkan
Sebesar ibu jari halia-diketuk
3 sudu rempah kari ikan-dibancuh dengan sedikit air
1 sudu cili giling
1 sudu teh serbuk jintan manis
1 sudu teh serbuk ketumbar
1 sudu teh serbuk jintan putih
1 sudu teh biji sawi
2 sudu susu cair
400ml air
Garam dan gula secukup rasa
Sedikit asam jawa(lebih kurang ½ ibu jari)-ramaskan dengan sedikit air untuk mendapatkan jusnya. Tak perlu banyak kerana selalunya rempah kari memang sudah sedia masam
Sedikit minyak untuk menumis

Cara-cara membuatnya:

  1. Panaskan minyak ke dalam periuk. Masukkan biji sawi dan daun kari apabila minyak telah panas. 
  2. Kemudian masukkan kulit kayu manis, bunga cengkih, buah pelaga dan  bunga lawang bersama-sama dengan bawang merah, bawang putih dan halia. Tumis hingga naik bau dan bawang kekuningan.
  3. Masukkan cili giling. Gaul rata. Kemudian masukkan rempah kari ikan bersama-sama dengan serbuk jintan dan ketumbar. Gaul rata lagi.
  4. Apabila rempah sudah agak kering, masukkan air asam jawa dan ikan. Gaul rata. Masukkan garam dan gula secukup rasa.
  5. Masukkan air dan susu cair. Kacau sebati. Biarkan dan kacau sekali-sekala sehingga ikan pari masak sepenuhnya.

Sabtu, 21 Mei 2011

Daging Masak Berlada



Bahan utama:
500g daging-dipotong nipis

Bahan tumbuk/kisar:
2 labu bawang besar
5 ulas bawang putih
1 inci halia

Bahan-bahan lain:
1 batang serai-diketuk
1 sudu teh kunyit serbuk
2 sudu cili giling
2 sudu sos tomato
2 sudu kicap
garam dan gula secukup rasa
air-sekadar hingga tenggelam daging

Bahan hiasan:
1 labu bawang besar-dipotong cincin
1-2 batang cili merah-dibelah 4 tanpa putus, direndam di dalam air dan disimpan dalam peti sejuk selama ½ jam.

Cara-cara membuatnya:

  1. Panaskan minyak di dalam kuali. Tumiskan bahan kisar hingga naik bau. Masukkan serai, cili giling dan serbuk kunyit. Tumis lagi hingga naik minyak sekali lagi.
  2. Masukkan daging. Gaul rata. Masukkan garam, gula, sos tomato, kicap dan air. Kacau sekali-sekala. Biarkan sehingga daging empuk. (Sekiranya daging belum empuk, tambahkan sedikit air dan masak hingga daging empuk).
  3. Apabila daging telah empuk dan masak dengan sempurna, masukkan bawang besar. Biarkan sehingga bawang layu dan tutup api.
  4. Hidangkan ke dalam pinggan/mangkuk, dan hiaskan dengan cili merah tadi.

Khamis, 21 April 2011

Ikan Pari Bakar


Bahan-bahannya:
2 potong ikan pari
Serbuk kunyit
Garam
Pes tomyam
Daun pisang

Cara-caranya:

  1. Lumurkan satu potong ikan pari dengan garam dan kunyit. Perap 10 minit. 
  2. Lumurkan satu potongan lagi dengan pes tomyam. Perap 10 minit.
  3. Alaskan tempat pemanggang dengan daun pisang. sapukan dengan sedikit minyak supaya ikan tidak melekat pada daun pisang ketika membakar. 
  4. Bakar ikan pari sehingga masak.
  5. Cicahkan ikan pari dengan air asam.
Bahan-bahan untuk membuat air asam:

Air masak
Asam jawa
Bawang merah-mayang halus
Cili padi-potong kecil
Garam dan gula secukup rasa

Cara-cara membuatnya:
  1. Bancuh asam jawa dengan air masak. Buangkan bijinya.
  2. Masukkan bahan-bahan lain ke dalam bancuhan asam jawa tadi. Gaul rata sehingga garam dan gula larut. Rasakan. Siap.

Jumaat, 24 Disember 2010

Tenggiri Masak Asam


Bahan utama:
Beberapa potong ikan tenggiri
Garam
Serbuk kunyit

Bahan-bahannya (ditumbuk/dikisar halus):

10 ulas bawang merah
4 ulas bawang putih
1 ketul belacan-sebesar ibu jari

Bahan-bahan lain:

Air asam jawa-mengikut kemasaman yang diinginkan
3 sudu cili kisar
Sedikit air-lebih kurang setengah cawan
Gula dan garam secukup rasa
4-5 biji cili padi
1 labu bawang besar-potong bulat/cincin

Cara-cara membuatnya:

  1. Perapkan ikan tenggiri dengan garam dan kunyit. Goreng hingga garing. Ketepikan.
  2. Tumiskan bahan tumbuk hingga naik bau. Masukkan cili kisar. Tumis lagi hingga naik minyak.
  3. Masukkan garam, gula dan air asam jawa. Kacau sebati. Masukkan air. Biar mendidih. Rasa.
  4. Masukkan ikan tenggiri yang telah digoreng bersama cili padi dan bawang besar. Kacau seketika hingga bawang layu. Tutup api. Siap.

Isnin, 2 Ogos 2010

Sup Ikan Haruan

Bahan-bahan:


Beberapa ekor ikan haruan-dicuci bersih, dipotong dua dan ditos
4 ulas bawang merah-dimayang halus
3 ulas bawang putih-dimayang halus
Halia (sebesar ibu jari kaki)-diketuk**digunakan dengan banyak untuk menghilangkan bau hanyir ikan haruan
3 biji buah pelaga
2 inci kulit kayu manis
5 kuntum bunga cengkih
Air secukupnya
Serbuk lada hitam-mengikut keperluan,**1 sudu kecil sudah memadai jika tidak suka pedas
Minyak untuk menumis
Garam dan perasa secukupnya

Cara-cara membuatnya:
  1. Panaskan minyak di dalam periuk. Tumiskan bawang merah, bawang putih dan halia bersama buah pelaga, kulit kayu manis dan bunga cengkih sehingga naik bau dan bawang kekuningan.
  2. Masukkan air secukupnya ke dalam periuk. Masukkan ikan berserta dengan garam dan perasa. Kacau rata dan biarkan hingga mendidih dan isi ikan masak.
  3. Hidangkan ketika panas.

Khamis, 22 Julai 2010

Sayur Masak Lemak Cili Api


Bahan-bahan:
1 ikat kacang panjang-potong pendek
1 cawan jagung muda/putik jagung
2 ulas bawang merah
Segenggam ikan bilis-direndam seketika
5-6 biji cili padi
1 cawan santan pekat(pati perahan pertama)
1½ cawan air
Garam
1 sudu serbuk kunyit

Cara-cara membuatnya:
  1. Tumbuk bawang merah, ikan bilis dan cili padi sehingga lumat. Masukkan ke dalam periuk bersama kacang panjang dan jagung muda. Masukkan serbuk kunyit,  air(1½ cawan) dan sedikit santan pekat (dalam 3 sudu). Renehkan bersama sehingga sayur empuk.
  2. Masukkan garam secukup rasa. Kacau rata. Masukkan baki santan pekat tadi. Kacau sentiasa sehingga mendidih. Tutup api. Siap.

Isnin, 28 Disember 2009

Sambal Belacan


Bahan-bahan:(disangai hingga layu)
10 biji lada merah-dibelah, dibuang biji dan kemudian dipotong pendek
4-5 biji cili padi
belacan-sebesar ibu jari
2 ulas bawang merah-dimayang

Bahan-bahan lain:
Secubit garam
2 sudu gula
1 biji buah mempelam/bacang muda
1 biji limau nipis-ambil jusnya

Cara-caranya:
  1. Selepas disangai, masukkan bahan-bahan yang disangai tadi ke dalam pengisar(blender kering). Masukkan garam dan gula. Kisar hingga lumat. *Tumbuk lagi sedap!
  2. Perahkan limau dan sagat halus mempelam/bacang muda. Gaul rata. Siap.

Nangka Muda Masak Lemak


Bahan-bahan(ditumbuk atau dikisar kering):
2 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
Halia-sebesar ibu jari
Kunyit hidup-sebesar 2 ibu jari atau boleh juga gunakan kunyit serbuk
Cili padi-banyaknya mengikut selera kepedasan anda sendiri
1-2 sudu kecil lada hitam

Bahan-bahan lain:
Nangka muda-dicuci, dipotong kecil dan direbus hingga empuk
Garam dan gula secukup rasa
2 cawan santan cair
½ cawan santan pekat(kepala santan)

Cara-caranya:
  1. Masukkan santan cair dan bahan tumbuk ke dalam periuk. Didihkan. Kacau sekali-sekala.
  2. Perasakan dengan garam dan gula secukupnya. *Gula sekadar untuk memancing rasa.
  3. Masukkan nangka muda yang telah direbus tadi. Gaul rata. Kemudian masukkan santan pekat. Kacau sentiasa hingga mendidih. Tutup api.